Semasa menaip kemasukan ini ibu tersayang masih nyenyak tidur di katil yg baginya begitu tidak selesa. Apa tidak nya katil hospital walau seempuk mana pun tidak setara dengan kerasnya katil di rumah yg didambakan. Sudah masuk hari yg ke 16 yg menjadikan kemasukan ibu dalam wad paling lama.

Menjaganya semalaman membuka kesedaran ketika aku kecil pastinya perkara yg lebih telah dikorbankan buatku. Inilah masanya untuk aku membalas jasanya yg pasti sekali tidak dapat menyamai jasa ibu walau seluruh amalku didunia ini dikumpul dan diserahkan kepadanya.

[Doa anakmu ini moga diri ibu sembuh seperti sedia kala ... amin.]

Aniq Adli bin Zalmanizam

Aku harap agar masih belum terlewat dalam mengabadikan kisah puteraku yang hadir menjadi ahli baru dalam keluargaku yang besar ini. Hadirnya sebagai cucu dan cicit sulung lelaki menghangatkan lagi hubungan kami semua. Debaran bermula pada 07 Januari 2010, walaupun bukan masa yang dijangkakan tapi atas nasihat doktor dan sejarah kesihatan isteri tercinta, terpaksalah diharungi jua.

Segala persiapan telah disediakan termasuk diriku sendiri yang membawa komputer riba bagi mengisi masa sepanjang menunggu kelahiran puteraku. Memang telah dijangka tv di ruang menunggu tidak dapat dipasang … nasib baik aku bawak komputer riba nih dapat jugak mengisi masa yan terluang …

Bermula daripada pukul 9 pagi sudah 3 kali isteriku keluar masuk wad bersalin, tapi masih belum menampakkan tanda-tanda untuk melahirkan puteraku itu. Masa terus berlalu … satu persatu lelaki yang bersama-sama menunggu diruang menunggu telah beransur setelah isteri masing-masing selamat bersalin. Hanya aku yang terus menunggu dan menunggu …

Jam menunjukkan 3.30 pagi 08 Januari 2010, tiba-tiba namaku dipanggil masuk ke dalam wad bersalin … hatiku berdegup kencang dan dapat merasakan satu kelainan … telahanku benar apabila melihat isteri tercinta masih belum bersalin tetapi kelihatan begitu lemah. Doktor bertugas langsung terus memberitahu yang isteriku terpaksa ditolak ke bilik pembedahan memandangkan anakku tidak dapat dilahirkan secara normal … Debaran diteruskan dan bukannya berakhir seperti yang diharapkan. Aku menuruti isteriku bagi menunggu di bilik pembedahan pula.

4.30 pagi … kelihatan seorang jururawat keluar menolak troli bayi dan menghampiriku … debaran masih juga belum berakhir apabila dinyatakan bahawa anakku perlu imasukkan ke dalam inkubator bagi pemerhatian intensif kerana penafasannya yang laju … isteriku? Masih dalam perhatian doktor. Dua insan ini terpisah dek kerana dua wad yang berasingan. Nasib baik wadnya hanya berada di tingkat yang lain maka aku hanya perlu turun naik setingkat bagi menemani kedua-duanya.

Debaran ini masih belum berkurangan apabila diberitahu yang puteraku enggan meminum susu formula. Kesukaran isteriku untuk menyusukan puteranya menambahkan lagi konflik ini. Ditambah lagi puteraku disahkan kena demam kuning yang menafikan harapan untuk segera keluar dari hospital.

Puteraku - Aniq Adli

Lapan hari berulang-alik dari hospital akhirnya puteraku dibenarkan keluar dari wad walaupun kiraan bilirubinnya agak tinggi tetapi menunjukkan penurunan. Aku merafakkan kesyukuran terhadap yang Maha Esa atas kurniaanNya. Walau penuh ujian … tapi inilah yang akan ku ceritakan pada puteraku satu hari nanti ANIQ ADLI.

[Inilah dia kain putih yang akan aku corakkan warnanya ... akanku lukiskan dan warnakan satu mahakarya indah yang penuh dengan warna-warna kehidupan. Cuma ayahda berharap ... jagalah dengan sebaiknya ...]

Tanggal 19 Mac 2010, buat pertama kalinya melawati dan menikmati Pesta Buku Antarabangsa 2010 di PWTC. Macam ada satu tarikan yang mendorong untuk melawati ruang pameran Karangkraf. Pesanan Isteri tercinta untuk membelikan sekurang-kurangnya sebuah novel untuk dirinya. Emmmmm … satu cabaran rupanya kepada ku untuk mencari novel yang menarik buat bacaan isteri tercinta. Rambang juga mata memilih novel dari terbitan Alaf 21 dan juga Buku Prima. Beberapa buku nukilan penulis yang dikenali ramai seperti Ramlee Awang Mursyid, Norhayati Ibrahim,  HM Tuah dijadikan sebagai senarai pendek. Tetapi … tidak tahu mengapa tiada tarikan kuat untuk mencapai walau satu pun buku novel yang tersusun rapi di rak pameran.

Pegh … begitu panjang mukadimah … Bagi menyampaikan cerita yang dikategorikan satu kejutan. Mungkin takdir yang Maha Esa menarik ku ke satu sudut yang dikerumuni khalayak yang akhirnya kaki terpaku apabila melihat seseorang yang sudah pastinya sudah lama terputus hubungan persahabatan …

Rupa-rupanya sahabat ku ini telah berjaya menempa namanya di dunia penulisan iaitu dunia impiannya. Bangga … itulah perkataan yang paling sesuai digambarkan pada ketika itu. Mana taknya penulis yang dikenali ramai adalah sahabat kita sendiri … dapat bergambar lagi hehehehe.

Mungkin ini kuasa tuhan yang Maha Esa yang mempertemukan kembali sahabat yang terpisah lama. Ada hikmah di sebalik pertemuan ini … ye la … Cuma beli satu novel tulisannya dapat percuma 4 lagi novel … Termakbul permintaan isteri tercinta … diharapkan satu tapi lima novel ke bawa pulang. Terima kasih Azie … Amat menghargainya.

[Umaira Dzul Widad atau Naz Areesya Ameen nama pena yang digunakan ... Moga berjaya]

Setahun yang lepas setelah tekad dibulatkan maka berkobar-kobar mendaftarkan diri semula sebagai pelajar. Menyambung pengajian untuk peringkat seterusnya memang telah diidamkan. Mengharungi kelas yang begitu padat walau sehari sahaja seminggu tetapi begitu mengujakan. Dapat pula rakan sekelas yang begitu ‘sporting’ dan pensyarah yang tidak mengenal erti putus asa melayani kerenah kanak-kanak yang telah dewasa ini. Namun apabila memasuki semester kedua tekanan mula dirasai, beban kerja kursus, ujian pertengahan semester yang kesemuanya tiba bersama-sama dengan beban kerja di pejabat begitu menduga kesabaran. Namun Semua itu telah berlalu dan apa yang pastinya kekal menjadi sejarah. Semua beban yang disifatkan tadi telah bertukar manis setelah hasilnya diperoleh. Segenggam ijazah sarjana menjadi pertukaran. Bila tiba hari graduasi … tiada gambaran dapat diberikan … gembira … sudah pasti … bangga … pada diri sendiri … syukur … pada Allah … terima kasih … pada semua yang menyokong, ibu, ayah, isteri dan puteri tercinta.

Kepada mereka yang ingin kembali melanjutkan pelajaran … secara ikhlas … adalah digalakkan … satu pengalaman yang berbeza ketika kita mengambil ijazah sarjana muda dulu … ayat biasa “kenapalah aku tak begini masa ‘undergrad’ dulu? Kalau tak mesti dah jadi ‘first class student’ hehehe. To anybody who want to further your study … go and grab the opportunity.

DSC00132

 

 

 

[Itu lah dia ayat-ayat orang yang dah lepas seksa … tapi tengah belajar dulu pernah juga terlintas difikirkan … tu la gatal-gatal lagi nak sambung belajar … tensen nyer … tapi semua tu sekarang ni sudah tidak releven]

Bila orang tanya … macam mana kerja kau sekarang?… maka jawapan yang paling selamat adalah … ok jer … dan memang sebenarnya ok jer. Bermula dengan mengamal undang-undang yang secara jujurnya bertatih dalam mengutip ilmu yang diberikan melalui cara yang paling perit iaitu pengalaman. Paling yang tidak dapat dilupakan ketika ditemu duga oleh Mr Oh yang mana kenyataan berani mati dituturkan … “Mr Oh, frankly speaking, I know nothing in legal practice, I never appear before the judge, even taking judgment in default” … Tapi apa yang menyebabkan rasa hormat timbul kepada Mr Oh apabila dia dengan tenang menyatakan … “I do not care that you are the first class student or third class student … I do not bother that you already published article in any journal … The main only thing for me is that you know how to work … let me introduce you to the other staffs. Emmmm … dapat jugak aku kerja akhirnya hehehehe.

 

DSC00096Setelah diri sendiri merasa puas dengan gelaran sebagai peguam, dari mahkamah majistret hingga ke Mahkamah Rayuan (kecuali Mahkamah Persekutuan … rasanya takper la), mahkamah buruh dan mahkamah perusahaan … maka dengan tekad mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia kepeguaman … Lalu melangkah masuk ke bidang penyuntingan … tapi bidang perundangan masih bidang utama … Satu episod baru dalam karier yang terlibat dalam mengikuti perkembangan dan pemakaian perundangan. Menyertai Malayan Law Journal atau MLJ sebelum namanya ditukar kepada LexisNexis adalah satu pengalaman berharga. 

Episod kehidupan tetap diteruskan apabila sekali lagi langkah ditetapkan untuk menimba pengalaman baru … satu dunia baru yang boleh dikatakan begitu mencabar … Kita tidak dapat mengetahui apa yang bakal berlaku di masa hadapan … itu yang uniknya.

 

DSC00039

 

[Shariah Law Reports (ShLR) inilah 'baby' yang ditatang semasa di LexisNexis ... Pengalaman adalah ilmu yang tiada tara nilai harganya ...]

 

DSC00061

Setelah begitu lama tidak mengemaskini laman blog ini hari ini telah terpanggil untuk mengabdikan sesuatu untuk tatapan pembaca budiman. Sepanjang tempoh masa senggang ini begitu banyak perkara telah berlaku yang akan kekal dalam lipatan sejarah kehidupan ini.

 Bertitik tolak dengan satu kehilangan nenda yang amat dikasihi dan masih lagi terasa sebak bila menghela nafas tatkala ingatan dibawa kenangan semasa saat akhirnya. Tiada apa yang boleh menghalang pemergiannya kerana ia adalah janji Allah. Moga Allah menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman.

Satu kemalangan yang agak teruk juga telah menimpa keluarga tersayang yang menyebabkan bonda tersayang mengalami kecederaan patah tangan. Namun alhamdulillah, sekarang telah pulih walaupun tidak sepenuhnya. Kereta Angah … masih lagi tersadai di bengkel … sabar ye.

Banyak lagi perkara lain yang telah berlaku yang kalu dikisahkan I sini berjela-jela panjangnya. Termasuklah keadaan yang tak terurus untuk menguruskan tugasan yang diberikan oleh pensyarah, pembentangan peperiksaan pertengahan semester dan sudah pasti semasa peperiksaan akhir. Namun kesemuanya telah berakhir. Terima kasih diucapkan kepada para pensyarah yang begitu komited dalam menyampaikan ilmu sepanjang mengambil Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbankan. Dr Norhashimah; Dr Rusni; Dr Fauziah; Mdm Huzaifah;Tengku; dan tidak lupa Dr Musheera. Kerana sekarang aku telah dimasyhurkan sebagai pemegang ijazah sarjana. Ibu dan Ayah serta isteri tercinta atas sokongan yang tidak terhingga. Serta pada mu puteri kesayangan ayah.

 

convo 25

[Kepada semua rakan-rakan seperjuangan tahniah atas kejayaan anda dalam menggenggam segulung Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbankan. Juga kepada rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan selamat maju jaya dan kuatkan semangat tinggal dua semester saja lagi OK ...]

books-gavel

[Sekadar gambar hiasan]

Quod constat clare non debet verificari  (‘sesuatu yang jelas dan nyata tidak perlu dibuktikan’), begitu banyak kenangan semasa mengenali perundangan ini. Banyak kes, maksim perundangan, peruntukan undang-undang yang perlu dihafal, ada yang masih ingat tapi lupa maksudnya, (tapi lebih banyak lupa sebenarnya …). Atas keterlupaan tersebutlah maka diusahakan halaman baru ini yang memuatkan pepatah perundangan Latin untuk rujukan pembaca-pembaca sekalian. Mungkin pembaca mempunyai pelbagai latar belakang yang bukannya perundanggan, tapi sekurang-kurangnya dapat merasai keperitan pelajar perundangan nak menghafal pepatah-pepatah tersebut. Begitu banyak maksim yang dijumpai, tetapi yang ini adalah yang terpilih (sebab yang lain tak tahu maksudnya … nanti sesat lagi menyesatkan …). Oleh itu kepada sesiapa yang hendak menambah perbendaharaan pepatah Latin boleh berikan respon kerana halaman tersebut akan dikemaskini dari masa ke semasa. Moga dapat memberikan manfaat.

 

[Teringat kata-kata seorang hakim — Pliding adalah seperti gigi buaya, pliding yang bagus adalah gigi buaya yang kukuh, sekali menggigit mangsa tidak akan lepas … Jika pliding tidak lengkap umpama gigi buaya yang tidak cukup yang memungkinkan mangsa terlepas … tapi ingat gigi buaya nampak saja cantik tapi rupa-rupanya gigi palsu … itu fraud … bukan mangsa jer, buaya-buaya sekali tak akan terlepas — Bila difikir-fikirkan balik ada betulnya juga perumpamaan yang dibuat (terfikir masa duduk lepas mahkamah untuk hilangkan menggigil … he he he]

 

golden-maple-leaf1Setelah beberapa lama mengumpul bahan untuk dimuatkan dalam halaman baru yang diberi tajuk ‘Islamic Legal Maxims’ ahkirnya berjaya disudahkan. Masih terdapat banyak lagi maksim perundangan Islam yang masih belum disenaraikan. Oleh itu, kepada rakan-rakan pembaca yang dapat memberikan input terkini dapatlah bersama-sama berkongsi. Ini juga adalah satu usaha untuk memperkayakan bahawa kebangsaan (sebab itu maksud maksim ditulis dalam bahasa kebangsaan). Jika terdapat ketidak selarasan terjemahan, adalah diharapkan agar dapat mendapat maklum balas dari rakan-rakan pembaca agar dapat diperbetulkan. Semoga usaha ini dapat memberikan menfaat buat semua pembaca.

 

 

[Teringat pesan guru — Kata hikmat dalam kehidupan adalah ‘will’ atau keazaman. Semua boleh dilaksanakan jika ada ‘will’ [Dr Norhashimah]. Maka kata pendita, hendak seribu daya, mahu beribu cara … Enggan berjuta alasan … Fikir-fikirkanlah…]

autumn-in-germany

[Perjalanan kehidupan yang masih jauh tanpa penghujung … Indahnya sepanjang perjalanan tersebut … anda yang menentukannya]

 

Bulan Disember yang dipenuhi dengan cuti, dimulakan dengan cuti Aidil Adha, diikuti dengan Krismas dan diikuti dengan cuti Maal Hijral. Itu tidak masuk cuti sekolah, habiskan cuti tahunan, cuti sakit, cuti kecemasan  dan yang paling perit sesiapa yang mengambil cuti tanpa gaji (bagi mereka yang cuti tahunan yang sudah tiada lagi berbaki).

 

Sedar atau pun tidak kita telah memasuki tahun 1430H tidak lama selepas itu tiba pula tahun baru 2009M. Tapi apa yang pasti tidak ramai yang menyedari kehadirannya. Masa kian berlalu pergi meninggalkan kita yang mana semalam tidak boleh tercapai lagi oleh kita. Harus diingat, walau ianya adalah semalam, ianya kekal sebagai satu kenangan bersejarah, yang menjadi pedoman dalam menempun masa hadapan.

 

Azam baru mula ditetapkan, namun azam semata-mata tanpa perancangan tidak cukup dan adalah manifestasi satu kegagalan. Oleh itu janganlah ditinggalkan atau dilupakan sejarah silam. Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri dalam membentuk hati yang cekal walau seribu satu dugaan yang bakal mendatang mewarnai kehidupan kita sebelum kita semua menutup mata buat selama-lamanya.

 

- SELAMAT TAHUN BARU 1430H/2009M -

 

[Teringat pesan guru: Kita perlu menjadi ikan di laut. Walaupun, hidup di dalam air masin bila hendak dimasak tetap perlu ditambah garam …]

jar-kawin0901 

Pergi berzanji di pekan pagoh

Beli sekati ikan senohong

Sudah berjanji bersetia tegoh

Jangan dimungkiri bercakap bohong

Amat garang datuk bentara

Musuh melanggar tiada yang menang

Dulu seorang kini berdua

Hidup bersama susah senang

  

Ikan di laut asam di darat

Dalam kuali bertemu jua

Hati terpaut janji diikat

Atas pelamin bertemu jua

Panas kering siapakan tahu

Hujan rintik di daun pandan

Berjalan seiring bersentuh bahu

Sama cantik sama padan

 

 

Orang jauh dikenang-kenang

Hanya terkenang pada yang satu

Mula berkenal kemudian bertunang

Di atas pelamin sama bersatu

[Selamat pengantin baru buat Rizani dan Noraini, ‘welcome to the club’ sebagai ‘junior member of the club’ anda berdua telah melepasi orentasi yang telah ditetapkan oleh para senior.]

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.