You are currently browsing the monthly archive for January 2009.

[Sekadar gambar hiasan]
Quod constat clare non debet verificari (‘sesuatu yang jelas dan nyata tidak perlu dibuktikan’), begitu banyak kenangan semasa mengenali perundangan ini. Banyak kes, maksim perundangan, peruntukan undang-undang yang perlu dihafal, ada yang masih ingat tapi lupa maksudnya, (tapi lebih banyak lupa sebenarnya …). Atas keterlupaan tersebutlah maka diusahakan halaman baru ini yang memuatkan pepatah perundangan Latin untuk rujukan pembaca-pembaca sekalian. Mungkin pembaca mempunyai pelbagai latar belakang yang bukannya perundanggan, tapi sekurang-kurangnya dapat merasai keperitan pelajar perundangan nak menghafal pepatah-pepatah tersebut. Begitu banyak maksim yang dijumpai, tetapi yang ini adalah yang terpilih (sebab yang lain tak tahu maksudnya … nanti sesat lagi menyesatkan …). Oleh itu kepada sesiapa yang hendak menambah perbendaharaan pepatah Latin boleh berikan respon kerana halaman tersebut akan dikemaskini dari masa ke semasa. Moga dapat memberikan manfaat.
[Teringat kata-kata seorang hakim — Pliding adalah seperti gigi buaya, pliding yang bagus adalah gigi buaya yang kukuh, sekali menggigit mangsa tidak akan lepas … Jika pliding tidak lengkap umpama gigi buaya yang tidak cukup yang memungkinkan mangsa terlepas … tapi ingat gigi buaya nampak saja cantik tapi rupa-rupanya gigi palsu … itu fraud … bukan mangsa jer, buaya-buaya sekali tak akan terlepas — Bila difikir-fikirkan balik ada betulnya juga perumpamaan yang dibuat (terfikir masa duduk lepas mahkamah untuk hilangkan menggigil … he he he]
Setelah beberapa lama mengumpul bahan untuk dimuatkan dalam halaman baru yang diberi tajuk ‘Islamic Legal Maxims’ ahkirnya berjaya disudahkan. Masih terdapat banyak lagi maksim perundangan Islam yang masih belum disenaraikan. Oleh itu, kepada rakan-rakan pembaca yang dapat memberikan input terkini dapatlah bersama-sama berkongsi. Ini juga adalah satu usaha untuk memperkayakan bahawa kebangsaan (sebab itu maksud maksim ditulis dalam bahasa kebangsaan). Jika terdapat ketidak selarasan terjemahan, adalah diharapkan agar dapat mendapat maklum balas dari rakan-rakan pembaca agar dapat diperbetulkan. Semoga usaha ini dapat memberikan menfaat buat semua pembaca.
[Teringat pesan guru — Kata hikmat dalam kehidupan adalah ‘will’ atau keazaman. Semua boleh dilaksanakan jika ada ‘will’ [Dr Norhashimah]. Maka kata pendita, hendak seribu daya, mahu beribu cara … Enggan berjuta alasan … Fikir-fikirkanlah…]

[Perjalanan kehidupan yang masih jauh tanpa penghujung … Indahnya sepanjang perjalanan tersebut … anda yang menentukannya]
Bulan Disember yang dipenuhi dengan cuti, dimulakan dengan cuti Aidil Adha, diikuti dengan Krismas dan diikuti dengan cuti Maal Hijral. Itu tidak masuk cuti sekolah, habiskan cuti tahunan, cuti sakit, cuti kecemasan dan yang paling perit sesiapa yang mengambil cuti tanpa gaji (bagi mereka yang cuti tahunan yang sudah tiada lagi berbaki).
Sedar atau pun tidak kita telah memasuki tahun 1430H tidak lama selepas itu tiba pula tahun baru 2009M. Tapi apa yang pasti tidak ramai yang menyedari kehadirannya. Masa kian berlalu pergi meninggalkan kita yang mana semalam tidak boleh tercapai lagi oleh kita. Harus diingat, walau ianya adalah semalam, ianya kekal sebagai satu kenangan bersejarah, yang menjadi pedoman dalam menempun masa hadapan.
Azam baru mula ditetapkan, namun azam semata-mata tanpa perancangan tidak cukup dan adalah manifestasi satu kegagalan. Oleh itu janganlah ditinggalkan atau dilupakan sejarah silam. Marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri dalam membentuk hati yang cekal walau seribu satu dugaan yang bakal mendatang mewarnai kehidupan kita sebelum kita semua menutup mata buat selama-lamanya.
- SELAMAT TAHUN BARU 1430H/2009M -
[Teringat pesan guru: Kita perlu menjadi ikan di laut. Walaupun, hidup di dalam air masin bila hendak dimasak tetap perlu ditambah garam …]
