You are currently browsing the monthly archive for March 2010.

Aniq Adli bin Zalmanizam

Aku harap agar masih belum terlewat dalam mengabadikan kisah puteraku yang hadir menjadi ahli baru dalam keluargaku yang besar ini. Hadirnya sebagai cucu dan cicit sulung lelaki menghangatkan lagi hubungan kami semua. Debaran bermula pada 07 Januari 2010, walaupun bukan masa yang dijangkakan tapi atas nasihat doktor dan sejarah kesihatan isteri tercinta, terpaksalah diharungi jua.

Segala persiapan telah disediakan termasuk diriku sendiri yang membawa komputer riba bagi mengisi masa sepanjang menunggu kelahiran puteraku. Memang telah dijangka tv di ruang menunggu tidak dapat dipasang … nasib baik aku bawak komputer riba nih dapat jugak mengisi masa yan terluang …

Bermula daripada pukul 9 pagi sudah 3 kali isteriku keluar masuk wad bersalin, tapi masih belum menampakkan tanda-tanda untuk melahirkan puteraku itu. Masa terus berlalu … satu persatu lelaki yang bersama-sama menunggu diruang menunggu telah beransur setelah isteri masing-masing selamat bersalin. Hanya aku yang terus menunggu dan menunggu …

Jam menunjukkan 3.30 pagi 08 Januari 2010, tiba-tiba namaku dipanggil masuk ke dalam wad bersalin … hatiku berdegup kencang dan dapat merasakan satu kelainan … telahanku benar apabila melihat isteri tercinta masih belum bersalin tetapi kelihatan begitu lemah. Doktor bertugas langsung terus memberitahu yang isteriku terpaksa ditolak ke bilik pembedahan memandangkan anakku tidak dapat dilahirkan secara normal … Debaran diteruskan dan bukannya berakhir seperti yang diharapkan. Aku menuruti isteriku bagi menunggu di bilik pembedahan pula.

4.30 pagi … kelihatan seorang jururawat keluar menolak troli bayi dan menghampiriku … debaran masih juga belum berakhir apabila dinyatakan bahawa anakku perlu imasukkan ke dalam inkubator bagi pemerhatian intensif kerana penafasannya yang laju … isteriku? Masih dalam perhatian doktor. Dua insan ini terpisah dek kerana dua wad yang berasingan. Nasib baik wadnya hanya berada di tingkat yang lain maka aku hanya perlu turun naik setingkat bagi menemani kedua-duanya.

Debaran ini masih belum berkurangan apabila diberitahu yang puteraku enggan meminum susu formula. Kesukaran isteriku untuk menyusukan puteranya menambahkan lagi konflik ini. Ditambah lagi puteraku disahkan kena demam kuning yang menafikan harapan untuk segera keluar dari hospital.

Puteraku - Aniq Adli

Lapan hari berulang-alik dari hospital akhirnya puteraku dibenarkan keluar dari wad walaupun kiraan bilirubinnya agak tinggi tetapi menunjukkan penurunan. Aku merafakkan kesyukuran terhadap yang Maha Esa atas kurniaanNya. Walau penuh ujian … tapi inilah yang akan ku ceritakan pada puteraku satu hari nanti ANIQ ADLI.

[Inilah dia kain putih yang akan aku corakkan warnanya ... akanku lukiskan dan warnakan satu mahakarya indah yang penuh dengan warna-warna kehidupan. Cuma ayahda berharap ... jagalah dengan sebaiknya ...]

Tanggal 19 Mac 2010, buat pertama kalinya melawati dan menikmati Pesta Buku Antarabangsa 2010 di PWTC. Macam ada satu tarikan yang mendorong untuk melawati ruang pameran Karangkraf. Pesanan Isteri tercinta untuk membelikan sekurang-kurangnya sebuah novel untuk dirinya. Emmmmm … satu cabaran rupanya kepada ku untuk mencari novel yang menarik buat bacaan isteri tercinta. Rambang juga mata memilih novel dari terbitan Alaf 21 dan juga Buku Prima. Beberapa buku nukilan penulis yang dikenali ramai seperti Ramlee Awang Mursyid, Norhayati Ibrahim,  HM Tuah dijadikan sebagai senarai pendek. Tetapi … tidak tahu mengapa tiada tarikan kuat untuk mencapai walau satu pun buku novel yang tersusun rapi di rak pameran.

Pegh … begitu panjang mukadimah … Bagi menyampaikan cerita yang dikategorikan satu kejutan. Mungkin takdir yang Maha Esa menarik ku ke satu sudut yang dikerumuni khalayak yang akhirnya kaki terpaku apabila melihat seseorang yang sudah pastinya sudah lama terputus hubungan persahabatan …

Rupa-rupanya sahabat ku ini telah berjaya menempa namanya di dunia penulisan iaitu dunia impiannya. Bangga … itulah perkataan yang paling sesuai digambarkan pada ketika itu. Mana taknya penulis yang dikenali ramai adalah sahabat kita sendiri … dapat bergambar lagi hehehehe.

Mungkin ini kuasa tuhan yang Maha Esa yang mempertemukan kembali sahabat yang terpisah lama. Ada hikmah di sebalik pertemuan ini … ye la … Cuma beli satu novel tulisannya dapat percuma 4 lagi novel … Termakbul permintaan isteri tercinta … diharapkan satu tapi lima novel ke bawa pulang. Terima kasih Azie … Amat menghargainya.

[Umaira Dzul Widad atau Naz Areesya Ameen nama pena yang digunakan ... Moga berjaya]

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.