POLIGAMI
Kisah ini adalah berdasarkan kepada kes yang telah dilaporkan dalan Journal Syariah (Shariah Law Reports). Ianya kes yang berkenaan dengan permohonan pemohon kepada mahkamah Syariah untuk kebenaran berpoligami. Permohonan berpoligami ini dibuat kerana dua sebab utama iaitu:
(1) Faktor pertama, kasih sayang terhadap isteri yang sedia ada semakin berkurangan kerana:
(a) Perkahwinan yang telah begitu lama menjadikan ikatan kasih sayang itu longgar. Kasih sayang yang longgar berlaku kerana layanan isteri yang tidak memuaskan, tidak pandai mengambil hati suami sama ada tentang makan, pakaian, menguruskan tempat tidur dan sebagainya. Keadaan ini berbeza berbanding dengan layanan yang diberi semasa baru-baru berkahwin dahulu. Sebabnya jelas iaitu disamping tugas sebagai guru, isterinya juga terpaksa melayani anak seramai empat orang yang masih kecil;
(b) Kelonggaran kasih sayang boleh terjadi berpunca daripada lelaki ataupun suami. Apabila suami melakukan tindak tanduk yang keterlaluan, isteri akhirnya tidak dapat menahan sabar, lalu bertindak dengan tidak mempedulikan kewajipan yang sepatutnya dilakukan untuk suaminya. Apabila kedua-dua belah pihak bertindak demikian, maka hubungan kasih sayang di antara mereka menjadi longgar. Apabila keadaan ini berlaku, suami akan mencari helah untuk mencari perempuan lain, kononnya dapat melayannya dengan baik, lebih baik daripada isterinya yang telah dikahwini bertahun-tahun;
(c) Seorang suami yang pada mulanya hidup dalam suasana serderhana kemudian itu menjadi kaya, bertukar kelakuan di mana isteri yang selama ini disayangi, ditinggal-tinggalkan dan cuba belajar mencari perempuan lain yang akhir terpaksa berkahwin dengannya.
(2) Faktor kedua, bahawa pemohon dengan bakal isteri sering keluar dan telah memakan masa melebihi satu tahun. Perbuatan seperti ini adalah bertentangan dengan hukum syarak, kerana perempuan itu masih haram bagi pemohon untuk bercampur gaul dan adalah ditakuti berlaku sebarang maksiat.
Mahkamah memutuskan, dengan membenarkan permohonan pemohon:
(1) Perkahwinan di dalam Islam bukanlah akad atau kontrak biasa, akan tetapi ianya adalah perjanjian yang kuat atau disebut sebagai mithaqan gholidza. Ianya mempunyai matlamat-matlamat yang tertentu yang mana bukan hanya sekadar untuk memenuhi keperluan seksual semata-mata, bahkan ianya juga sebagai satu jalan untuk melahirkan zuriat keturunan yang bersih dari zaman ke zaman dan dapat memberi ketenangan jiwa serta melahirkan suasana ketenteraman dan kedamaian hasil dari ujudnya rasa kasih sayang antara suami isteri.
(2) Dalam menentukan sama ada kebenaran berpoligami boleh diluluskan atau tidak, mahkamah kenalah menimbangkan permohonan itu berdasarkan faktor-faktor berikut:
(i) pemohon boleh berlaku adil di kalangan isteri-isteri;
(ii) pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung semua isteri dan orang tanggungannya;
(iii) bahawa poligami yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu;
(iv) bahawa poligami yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syar’i kepada isteri yang sedia ada termasuklah kepada anak-anak; dan
(v) bahawa poligami yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati dan dijangka akan dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungannya.
[Re Amirudin bin Abd Rashid [2008] 2 ShLR 171
Mahkamah Rendah Syariah (Kuala Terengganu)
Ismail Yahya HMRenSy
14 Oktober 1994]
Pernikahan Tanpa Bakal Isteri dalam Satu Majlis
Kita sering dihidangkan dengan kisah mereka yang terjebak dalam aktiviti pernikahan sindiket. Mereka mengambil jalan mudah untuk memenuhi nafsu serakah tanpa berfikir panjang. Kegembiraan yang sementara akhirnya menjadi igaun sepanjang hidupnya dan juga keturunannya.
Kisah ini adalah dipetik daripada satu kes mahkamah syariah yang dilaporkan dalam satu jurnal Syariah. Re Zuraini bt Mohamad & Anor [2008] 3 ShLR 97.
Pasangan ini telah melangsungkan upacara pernikahan di Pattani, Selatan Thailand. Semasa akad nikah dijalankan, pengantin perempuan tidak berada di majlis akad tersebut sebaliknya menunggu di sebuah surau di Rantau Panjang, Kelantan. Pegawai yang seharusnya melangsungkan perkahwinan mereka adalah wali hakim Wilayah Pattani. Sebelum berlangsungnya pernikahan mereka, beliau telah menyeberangi sempadan Malaysia dan berjumpa dengan pengantin perempuan di surau tersebut bagi mendapatkan persetujuan. Setelah persetujuan diperolehi daripada pengantin perempuan, jurunikah bersama pengantin lelaki iaitu pemohon kedua dan juga beberapa orang rombongannya telah kembali ke Pattani untuk menjalankan upacara akad nikah. Pasangan ini memohon agar pernikahan tersebut disahkan oleh mahkamah dan satu perintah/kebenaran untuk mendaftar pernikahan tersebut di Wilayah Persekutuan dikeluarkan.
Mahkamah Syariah Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa:
(1) Bidang kuasa melangkaui sempadan wilayah perlantikan adalah mustahil dan bercanggah dengan maqasid al syariah kerana ianya membawa kepada ketidakpastian dan ketidaktentuan di dalam sistem dan kehidupan bernegara pada masa kini. Zaman khilafah Islamiyyah telahpun berakhir dan kekuasaan ataupun wilayah al sultaniyyah sekarang telah terpecah mengikut wilayah-wilayah kenegerian semata-mata;
(2) Oleh kerana pengantin perempuan berada di Rantau Panjang, Kelantan maka segala peraturan dan prosedur hendaklah merujuk kepada penguasa Islam tempatan. Ini bermakna, bidang kuasa wali hakim di sana adalah merujuk kepada wali hakim yang mempunyai kuasa di Negeri Kelantan. Kuasa wali hakim adalah melaksanakan tugas sebagaimana yang telah dimaktubkan dalam undang-undang.
(3) Senario yang berlaku akhir-akhir ini telah menampakkan urusan pernikahan yang merupakan satu ibadat, telah dijadikan bahan dagangan untuk mendapatkan laba dan keuntungan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Urusan pernikahan telah dijadikan satu bisnes untuk mengaut keuntungan segera oleh mereka. Mahkamah ini melahirkan rasa dukacita dan kesal kerana pemohon-pemohon dalam kes ini, mungkin telah terperangkap dengan sindiket ini tanpa menyedarinya.
Dalam kes ini jelas sekali pasangan ini tidak memikirkan langsung kesan daripada pernikahan yang tidak sah ini. Masalah ini menjadi lebih rumit terhadap anak-anak yang lahir daripada pernikahan seperti ini, selain status anak tersebut boleh dipersoalkan, anak tersebut berkemungkinan dinafikan sijil kelahiran dan seterusnya memberikan kesan terhadap masa depannya.
Kepada mereka yang terlibat sedarlah. Jangan menjadi kejam terhadap generasi akan datang atas keseronokan diri sendiri. Moga kes ini menjadi teladan kepada semua. Berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Prosedur Garnishee
Sebelum ini, tanpa ada rasa ingin tahu apa dia prosidur garnishee, terus sahaja membuat permohonan dan ada kalanya berjaya dan ada kalanya hanya atas kertas.
Setelah hampir satu semester menjadi pelajar kembali, barulah dapat diketahui sistem dan prosedur yang diamalkan mempunyai persoalan perundangan yang masih belum terlerai. Ketika melaksanakan ‘case review’ untuk kes Bumiputra-Commerce Bank Bhd v Top-A Plastic Sdn Bhd [2008] 5 MLJ 34. Mulanya pening jugak macam mana nak membuatnya tetapi alhamdulillah, berkat doa dan sokongan isteri dan keluarga dapat juga menghabiskan tugasan tersebut. Apa yang ingin diperbincangkan disini adalah berkenaan dengan prosedur garnishee, semoga dapat membantu rakan-rakan yang berkecimpung dalam bidang perundangan dalam mencetuskan isu perundangan dalam melaksanakan prosedur garnishee.
Walaupun, fakta kes banyak berkisarkan prinsip hubungan bank dan pelanggan (Banker-Customers Relationship), tetapi kes ini yang dicetuskan daripada tuntutan pihak ketiga yang memulakan prosiding garnishee terhadap responden/plaintif. Kepada pengamal perundangan yang banyak membuat kes-kes perbankkan, rasanya adalah wajib mengetahui kes ini. Begitu banyak prinsip perindangan yang diperbincangkan.
Prosiding garnishee, adalah satu prosiding yang dikawal selia oleh A 49 k 1(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980. Antara syarat untuk berjaya adalah, perlunya terdapat jumlah terhutang oleh pihak garnishee kepada pihak penghutang penghakiman. Oleh itu, persoalannya, apa kena mengena, prosiding garnishee terhadap akaun bank penghutang penghakiman? Bolehkah pemiutang penghakiman menggarnish akaun bank penghutang penghakiman, kerana syarat utama prosiding garnishee adalah seperti yang dinyakan tadi?.
Untuk menjawab persoalan yang bermain dipemikiran ketika menyiapkan ‘case review’ maka dapatlah dibahagikan persoalan ini kepada dua bahagian yang mana satu daripadanya dapat menjawab persoalan dengan mudah dan satu lagi masih belum ada duluan kes yang dapat dijadikan panduan.
Sistem Perbankkan Konvensional
Hubungan bank dan pelanggan dalam sistem perbankkan ini akan dirujuk kepada kes utama iaitu Foley v Hill & Ors [1843-1860] All ER Rep 16, yang merujuk hubungan bank dan pelanggan dalam mengambil deposit adalah sebagai ‘Debtor-Creditor Relationship’. Oleh yang demikian, prosiding garnishee boleh diambil terhadap bank kerana bank adalah pihak yang berhutang dan wang dalam akaun tersebut adalah jumlah hutang bank kepada penghutang penghakiman.
Sistem Perbankkan Islam
Hanya dalam sistem perbankkan Islam, isu ini masih belum dipertikaikan lagi. Perlu diingat bahawa sistem perbankkan Islam adalah berbeza dengan sistem perbankkan konvensional. Terutama dalam situasi pengambilan deposit oleh bank yang mana Dr Norhashimah Yasin, mengkategorikan sebagai ‘multicontractual relationship’ atau hubungan kontraktual pelbagai. Sebagai contoh, deposit yang menggunakan konsep Wadiah Yad Dhamanah (simpanan dengan jaminan) yang mana bailor dan bailee dan bukannya penghutang dan pemiutang. Persoalan yang masih belum terjawab, bolehkah pemiutang penghakiman menggarnish akaun yang berkonsepkan Wadiah Yad Dhamanah?
Oleh yang demikian, penulis menyerahkan kepada kebijaksanaan para pengamal perundangan, para peguam dan para hakim untuk mempertimbangkannya. Walau apa pun, seperti yang sering diperkatakan dalam kelas yang penulis hadiri, kadang-kadang amalan yang sering diamalkan adalah tidak seiring dengan peruntukan perundangan yang sedia ada.



Leave a comment
Comments feed for this article